Debat antara Anwar Ibrahim dan Najib Razak perlu diadakan agar rakyat dapat menilai hujah serta kewibawaan mereka bagi memilih siapa bakal meneraju negara pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Debat antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang sememangnya ditunggu-tunggu untuk mereka berhujah secara berhadapan dan disaksikan seluruh rakyat Malaysia, malangnya masih belum mendapat persetujuan Najib sedangkan (Datuk Seri) Anwar telah lama menyatakan kesediaannya,” kata Nik Nazmi kepada Keadilan Daily.
Beliau berkata, perdebatan itu adalah sebahagian daripada kaedah untuk kedua-duanya menerangkan kepada umum mengenai manifesto pilihanraya seperti diumum menteri.
“Kita (Pakatan Rakyat) menyambut baik kebenaran untuk membentangkan manifesto menjelang PRU 13. Ini merupakan satu kejayaan Bersih hasil dari desakan rakyat.
“Kita juga menanti apakah syarat dan peraturan yang akan digariskan oleh kerajaan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia.
Sebelum ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim membenarkan setiap parti politik membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen.
Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof baru-baru ini mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.
Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua meminta supaya ruang keterbukaan diberikan secara seimbang dan adil kepada semua pihak terutamanya Pembangkang.
“Kita akan teliti keputusan ini kerana tuntutan sebenar kami ialah kami mahu diberikan ruang media yang saksama. Jika BN diberi ruang masa setengah jam, kita juga perlu diberi tempoh yang sama,” kata Ahli Parlimen Batu itu lagi.
Link to full article
Không có nhận xét nào:
Đăng nhận xét